Categories
NASIONAL

Banyak permohonan kemasukan TVET tapi peluang terhad

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhadapan masalah menempatkan pelajar ke pusat institusi kemahiran walaupun menerima permohonan kemasukan hampir 140,000 sejak 2016 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata sehingga kini, tujuh peratus daripada murid lepasan tingkatan tiga mengikuti pendidikan vokasional di bawah institusi pendidikan dibawah KPM.

“KPM sedang mengkaji segala bentuk peluang yang membolehkan pemberian peluang kepada anak muda khususnya masih berada di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Dewan Rakyat.

Pada 2016 sebanyak 72,000 permohonan kemasukan ke institut kemahiran diterima dengan kapasiti peluang sebanyak 16,000 manakala 66,000 permohonan dengan 17,000 peluang bagi tahun 2017.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kementerian melaksanakan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, Kementerian Kerjaya Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut terlibat dengan penyelarasan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“KPM turut melakukan tiga fasa promosi untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar dengan fasa pertama adalah proses pengambilan pelajar ke kolej vokasional.

“Fasa kedua adalah mempromosikan aktiviti pelajar dalam kolej vokasional dan memberikan penjelasan bahawa pelajar vokasional berpeluang memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lumayan selain menjadi usahawan muda,” katanya.

Mengulas soalan tambahan dikemukakan Nurul Izzah yang menyentuh soal pengurusan tabung memperkasa pelan induk pembangunan TVET bernilai RM4.9 bilion, Kamalanathan menjelaskan KPM akan memantau segala aktiviti perbelanjaan yang dilakukan dengan meletakkan wakilnya di dalam setiap jawatankuasa induk.

=EZY=