Categories
SELANGOR

Jaga kebersihan Pantai Morib, si pengotor ‘mohon terasa’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 30 NOV: Geram dengan sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berucap panjang ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1.

Mohammad Zain turut mengingatkan masyarakat untuk bersama memainkan bertanggungjawab menjaga Kuala Langat dalam semua aspek termasuk kebersihan dan bukannya bergantung kepada MDKL semata-mata.

Katanya, penduduk sekitar dan peniaga sepatutnya merasa malu apabila MDKL menerima banyak permohonan syarikat luar untuk mejalankan kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan Pantai Morib

“Kita buang sampah, orang luar datang kutip, tak rasa malu ke? Saya suka perkara ini, tetapi pada masa sama ia memberi tanggapan negatif kepada MDKL kerana sampai ada pihak luar buat CSR kutip sampah,” katanya.

Jelasnya, pernah pada suatu ketika MDKL menerima permohonan daripada tiga buah syarikat bersama beratus-ratus kakitangan membuat permohonan untuk membersihkan Pantai Morib.

Katanya, MDKL terpaksa mengambil tindakan tegas dengan tidak lagi meluluskan permohonan mana-mana syarikat luar atau organisasi bukan kerajaan (NGO) menjalankan kerja CSR pembersihan pantai untuk ‘mengajar’ penduduk tempatan supaya lebih menjaga kebersihan.

“Kita nak tengok orang Morib nak tak jaga Pantai Morib. Pokok jangan tanam, sampah jangan kutip. Kita nak tengok siapa nak ‘complain’.

“Kalau ada yang ‘complain’, kita nak ajak mereka sama-sama pungut sampah. Kita kena jaga sama-sama,” katanya.

Mohamad Zain turut meluahkan perasaan kecewanya apabila mentaliti masyarakat masih berada di takuk lama dan bukannya mentaliti sebuah negara maju ekoran kejadian vandalisme yang masih berleluasa.

“Bagi peniaga berniaga, dia tak jaga, banyak sampah. Penduduk kata tak cukup kerusi, bila majlis buat kerusi dicontengnya pula.

“Oh gelap, minta pasang lampu, dipecahkannya. Apa nak jadi dengan orang kita ini? Serupa juga hari ini kita tanam pokok bakau, nanti siapa yang rosakkan?,” soalnya lagi.