Categories
SELANGOR

Kedai berusia lebih 100 tahun diberi nafas baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Bangunan kedai lama berusia lebih 100 tahun di Pekan Batang Berjuntai diberi nafas baru bagi meningkatkan imej pekan terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bangunan terbabit merupakan warisan sejarah yang perlu dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

“Ini suatu kawasan yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sementara kita mahukan Selangor menjadi sebuah negeri yang maju, makmur dan telus memacu pertumbuhan industri tetapi kita kena kekalkan nilai warisan dan sejarah.

“Ayah dan ibu kita telah lama berada di pekan ini untuk menjalankan perniagaan dan hari ini kita mewarisi segala usaha mereka yang semakin berkembang dan kita kena jaga nilai warisan dan estatika yang ada di Pekan Batang Berjuntai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kerja Kesenian Kedai Bersejarah di Pekan Batang Berjuntai, di sini, hari ini.

Jelasnya, warisan bersejarah yang ada di Kuala Selangor mempunyai nilai tinggi yang perlu dikekalkan bukan semata-mata untuk tatapan generasi akan datang tetapi juga boleh dijadikan satu produk pelancongan yang berpontensi.

Sementara itu, pada program sama, Mohamed Azmin menurunkan tandatangan diplak sebagai simbolik kepada pelancaran kerja mengecat bumbung bangunan terbabit.

Bangunan terbabit akan dicat dengan mural yang setaraf dengan usia dan nilai sejarah bangunan terbabit.

Acara simbolik itu turut disaksikan oleh Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

=EZY=