Categories
SELANGOR

Kembangkan seni silat kepada kaum lain

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 18 NOV: Pertubuhan Silat seperti Pesaka Selangor disaran mengambil inisiatif bagi mengembangkan seni persilatan kepada kaum lain.

Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Razaly Hassan berkata, inisiatif itu berpotensi sebagai medium untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

“Diseru pertubuhan silat mengambil inisiatif mengembangkan seni persilatan bukan hanya kepada Melayu malah kepada kaum lain seperti Cina, India, Orang Asal dan lain-lain.

“Selain itu, bagi memastikan kesinambungan seni silat, diharap akan ada usaha menyelidik dan mengenalpasti lebih mendalam seni silat ini melalui kewujudan pertubuhan silat seperti Pesaka Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi merangkap Pengerusi PADAT, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang tidak dapat hadir.

Temasya Silat Seni dan Warisan Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bermula hari ini sehingga esok itu menawarkan hadiah lebih RM4,000.

Ia bertujuan mempersembahkan kesenian gerak dan langkah dalam persilatan Melayu, memelihara kelestarian seni bagi generasi akan datang sekaligus berperanan sebagai medan menghimpunkan para pesilat.

Penyertaan dibahagikan kepada dewasa dan kanak-kanak dengan lima kategori dipertandingkan.

=EZY=