Categories
EKONOMI GLOBAL

Kesilapan prosedur, Subaru tanggung AS$177 juta

TOKYO, 17 NOV: Subaru Corp dijangka menanggung kos 20 bilion yen (AS$177 juta) atas kesilapan prosedur pemeriksaan akhir, di kilang pemasangan tempatan, lapor Reuters.

Pengeluar kenderaan terkemuka di Jepun itu turut memanggil semula 395,000 kenderaannya.

Minggu lalu, pengeluar sedan Legacy dan Outback SUV crossover itu bercadang memanggil semula sekitar 400,000 kenderaan dan anggaran kos dijangka melebihi 10 bilion yen.

Subaru dilapor berdepan jualan lemah di Amerika Syarikat (AS), yang mengurangkan unjuran keuntungan operasi apabila mengumumkan keputusan kewangan sukuan, baru-baru ini.

Ia menyandarkan keuntungan operasi dalam tahun kewangan semasa pada 380 bilion yen, berbanding unjuran 410 bilion yen sebelum ini dan lebih rendah dari 410.8 bilion yen, tahun lalu.

Pada Oktober, Subaru berkata, pemeriksaan akhir kenderaan baharu di kilang utama Gunma di utara Tokyo ada kalanya dijalankan sekumpulan juruteknik tidak bertauliah selama lebih 30 tahun beroperasi.

Keadaan itu jelas melanggar syarat ditetapkan kementerian pengangkutan negara itu.