Categories
NASIONAL

Mangsa banjir di Kedah meningkat

ALOR SETAR, 17 NOV: Jumlah mangsa banjir kilat di beberapa tempat, di Kedah hingga 8 pagi ini meningkat kepada 930 orang berbanding 718 orang, malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, enam pusat pemindahan (PP) yang menempatkan 250 keluarga masih dibuka, di Kubang Pasu dan Kota Setar.

Di mukim Jitra, tiga pusat dibuka di Dewan Kubur Siam yang menempatkan 222 mangsa, Dewan Tokong Cina (50) dan Dewan Jitra seramai 202 mangsa.

Jumlah mangsa banjir di PP Kampung Lahar dan Dewan Kampung Bata di Malau, kekal dengan masing-masing menempatkan 130 dan 278 mangsa.

Sementara itu, satu pusat pemindahan baharu dibuka di Kota Setar pada 10 malam tadi di Surau Assyakirin, Kepala Batas, yang menempatkan 48 mangsa daripada 13 keluarga.

*Sumber: BERNAMA

*Foto: BHOnline