Categories
SELANGOR

MDKL kenalpasti lokasi tempatkan kendera saji

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mempunyai beberapa cadangan lokasi yang sesuai dan selesa bagi menempatkan peniaga kendera saji, di daerah itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, setakat ini perniagaan berkonsepkan kendera saji belum popular di Kuala Langat sementara peniaga sedia ada tidak dibenarkan meletakkan kerusi dan meja.

“Kita mempunyai beberapa cadangan lokasi bersesuaian untuk menempatkan kendera saji antaranya di tapak letak kenderaan baru, di Pantai Morib dan tapak letak kenderaan, di Jalan Persiaran Majlis, Pekan Banting.

“Lokasi dicadangkan itu bersesuaian kerana tidak mengganggu lalu lintas dan mempunyai kemudahan tandas awam,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Katanya, buat masa ini MDKL membenarkan peniaga kendera saji menjalankan perniagaan tetapi menggunakan konsep beli dan bawa pulang.

Daripada segi pemantauan, peniaga hanya dikenakan lesen penjaja bergerak bagi memudahkan MDKL membuat penguatkuasaan, ketika ini.

Mohamad Zain menjelaskan, peniaga yang menjalankan perniagaan kendera saji perlu mengikut Garis Panduan Trak Bergerak (makanan, barangan dan perkhidmatan), pada masa akan datang.