Categories
SELANGOR

Naik taraf jeti Kampung Assan Jawa dipertimbang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan bagi menaik taraf kemudahan jeti di Kampung Assam Jawa, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata seperti mana diminta warga nelayan di kawasan itu, Kerajaan Negeri akan mengambil serius perkara itu supaya ianya dapat direalisasikan.

“Kita sedang melihat bagaimana kita boleh menaik taraf kemudahan jeti nelayan di Kampung Assam Jawa,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan jeti di kampung itu.

Beliau berkata, kalangan nelayan di sini turut mengakui mantan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan mantan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, M P Muthiah, telah menyalurkan sumbangan bagi tujuan berkaitan tetapi terdapat keperluan tambahan termasuk kunci air dan pembinaan paluh lebih luas.

Mengulas lanjut, katanya, nelayan juga menjelaskan masalah dihadapi apabila pukat jaring tidak boleh digunakan lagi hingga menjejaskan hasil pendapatan mereka.

“Saya berhadap Ahli Parlimen Kuala Selangor juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, melihat perkara ini secara serius supaya tidak membebankan nelayan.

“Perkara ini juga akan saya bawa ke sidang parlimen untuk dipertimbangkan,” katanya.

=EZY=