LABUAN 19 NOV: Juruterbang pesawat angkut C130 Hercules bersama lapan anak kapal lain yang terpaksa melakukan pendaratan cemas lewat petang semalam di Lapangan Terbang Labuan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian pesawat, dalam memastikan ianya selamat mendarat dan dalam keadaan terkawal, meskipun pendaratan dilakukan tanpa tayar.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, juruterbang dan anak kapal telah melakukan pendaratan secara profesional serta kerosakan yang dialami pesawat didapati minimum.
“Cara-cara dan teknik yang digunakan oleh juruterbang bersama anak-anak kapal dalam proses pendaratan adalah licin, yang mana pesawat dikawal dengan cara sepatutnya.
“Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada juruterbang dan anak kapal kerana telah melakukan pendaratan kecemasan dengan berjaya tanpa ada kecederaan dan kerosakan yang teruk pada pesawat,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kem Membedai TUDM Labuan hari ini.
Katanya, pengendalian dan pengawalan pesawat yang selamat mendarat itu adalah berikutan siri latihan simulator berterusan yang telah membantu mereka mengawal keadaan seperti yang berlaku petang semalam.
SUMBER: BERNAMA