Categories
SELANGOR

Pilihanraya hampir tiba, fitnah makin menular

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 NOV : Dakwaan yang mengaitkan kononnya Kerajaan Negeri mengedarkan pemberian kondom percuma di bawah Skim Peduli Sihat adalah tidak benar dan bersifat fitnah.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeo berkata, penularan dakwaan negatif berkenaan dibuat bagi mengelirukan masyarakat awam.

“Bukti pilihanraya sudah semakin dekat, ini taktik jijik untuk memfitnah dan mengelirukan masyarakat dan pengundi,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu tular kononnya pemberian kondom percuma akan diedarkan kepada rakyat Selangor di bawah Skim Peduli Sihat bagi mengelak terdedah kepada penyakit HIV atau AIDS dalam kalangan generasi muda negeri.

Penularan dakwaan tu tular sejak beberapa hari lalu dan mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat seluruh negeri.

Sementara itu, Setiusaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafie berkata, ada pihak tidak bertangungjawab menularkan perkara berkenaan, termasuk meletakkan gambar Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali.

“Berita ini adalah fitnah semata-mata. Makin terdesa kaum dedak ini,” katanya lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mendapatkan akses kesihatan terbaik menerusi pengenalan beberapa inisiatif.

Antaranya pengenalan Kad Peduli Sihat yang bakal memberi manfaat kepada 1 juta rakyat Selangor untuk mendapatkan pembiayaan kos rawatan asas.