Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Rajagopal kembali terajui PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 NOV: Datuk K Rajagopal diperkenalkan secara rasmi sebagai Ketua Jurulatih PKNS FC bagi musim 2018.

Bekas jurulatih Harimau Malaya berusia 61 tahun itu akan membimbing Red Ants buat kali kedua selepas pertama kali berbuat demikian pada tahun 1990 hingga 1998.

“PKNS FC umpama tempat kelahiran saya. Dari kakitangan, pemain bola sepak, berumah tangga dan kini menjadi jurulatih.

“Banyak jasa dan sumbangan mereka kepada saya. Ini adalah masa terbaik untuk saya memberikan sumbangan kepada PKNS FC,” katanya.

Majlis Memperkenalkan Ketua Jurulatih PKNS FC 2018 di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, Bangunan Ibu Pejabat PKNS disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Noraida Mohd Yusof sambil disaksikan Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar dan Setiausha PKNS FC Md Adi Harmizi Ariffin.

Rajagobal merupakan bekas kakitangan dan pemain PKNS FC pada tahun 1978 serta pernah bergandingan bersama lagenda bola sepak Malaysia, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Sepanjang karier selaku pemain selama 20 tahun, beliau turut bermain bersama pasukan Selangor dan mempunyai 20 caps penampilan dengan pasukan Malaysia

Selain PKNS FC, beliau pernah membimbing Selangor FA, Kelantan FA dan Sarawak FA.

Menyingkap karier sebagai Jurulatih Kebangsaan, anak jati Selangor ini pernah membimbing pasukan Malaysia B20, Harimau Muda A, Malaysia B23 dan skuad utama Harimau Malaya.

Pencapaian terbaik beliau adalah membawa skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan memenangi pingat emas pertama dalam Sukan SEA 2009 Lais dengan menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir.

Kecemerlangan beliau berterusan apabila membimbing skuad kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama pada 2010 sejak diperkenalkan pada 1996.

=EZY=