Categories
SELANGOR

Ralat butiran kewangan MARRIS, tiada agenda sorok fakta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV : Kesilapan jumlah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) pada jadual pembaharuan Butir-Butir Anggaran Hasil Bagi tahun 2018 berpunca daripada kesilapan pencetakan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada sebarang cubaan di peringkat Kerajaan Negeri menyembunyikan fakta sebenar kewangan negeri.

“Saya ingin tegaskan, kecacatan bukan terbit daripada sikap Kerajaan Negeri yang ingin menyorokkan mana-mana fakta, ia berpunca daripada kesilapan cetakan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika menggulungkan perbahasan Belanjawan 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang ini.

Awal pagi ini, notis ralat diedarkan kepada kesemua Ahli Dewan Negeri (ADN) berhubung pemakluman ralat pembetulan isu berkenaan.

Ekoran itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Shahrum Mohd Sharif mempersoalkan kesilapan cetakan itu pada sidang medianya, di lobi DNS pagi ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, kesilapan jadual grafik yang dicetak tidak mempengaruhi jumlah peruntukan yang dicadang pentadbiran negeri sebelum ini.

“Jangan memberi gambaran seolah-olah kesilapan itu dari segi angka, jumlah atau nilai peruntukan. Kesilapan itu hanya pada struktur garisan (spacing) yang tidak selari sedikit.

“Yang Berhomat Dengkil boleh mengelirukan Utusan Malaysia, tapi jangan kelirukan DNS yang mulia ini. Angkanya masih sama dan tidak berubah,” katanya.