Categories
NASIONAL

Selangor tetap salur air percuma walaupun musim kering

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV : Kerajaan Selangor tidak akan menghentikan pelaksanaan dasar pemberian air percuma kepada rakyat seluruh negeri bagi memastikan rakyatnya menikmati manfaat jangka panjang pelaksanaan skim berkenaan.

Naib Ketua Wanita KEADILAN, Dr Darorah Alwi berkata, RM180 juta dibelanjakan pentadbiran Selangor bagi merealisasikan agenda berkebajikan untuk rakyat itu.

“Walaupun kemarau, kami tetap beri air percuma itu untuk rakyat Selangor.

“Walaupun bermacam-macam dasar dibuat di peringkat Persekutuan seperti cukai GST, tol dan kenaikan harga barang, Kerajaan Negeri konsisten membantu rakyat Selangor melalui pendekatan berbeza.

“Usaha yang kami laksanakan termasuklah Inisiaitf Peduli Rakyat meliputi pelbagai dasar berkebajikan yang membantu rakyat dalam segenap aspek,” katanya yang juga Exco Kerajaan Selangor.

Beliau berucap pada Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kampung Batu Kapur, Mentakab di sini, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mula melaksanakan dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan secara percuma untuk rakyat.

Faedah ini adalah untuk semua tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan tinggal di Selangor, berhak mendapat air percuma tersebut, setiap bulan.

Inisiatif pemberian dasar air percuma mula dilaksanakan sejak 2008 di bawah inisiatif Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini.

Program bekalan air percuma ini juga adalah salah satu komponen bagi Cadangan Penstrukturan semula industri air di Selangor secara holistik dan bersepadu yang diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ia dilaksanakan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan, efektif serta dapat mengurangkan kadar tarif air semasa bagi kemudahan rakyat di Selangor.

=EZY=