Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat: Caj lebih, tamat khidmat klinik panel

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebanyak 869 klinik di seluruh Selangor dan Lembah Klang diluluskan sebagai klinik panel Skim Peduli Sihat, setakat 19 Oktober lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri kini dalam proses meluluskan 93 klinik lain.

Katanya, tiada klinik yang ditamatkan khidmat panel, sehingga kini.

“Sementara itu, sebarang aduan lebihan caj diadukan orang ramai akan disiasat Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate).

“Terdapat beberapa proses aduan tertentu berkaitan pengenaan caj berlebihan yang harus diikuti oleh pihak klinik panel,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berhubung proses tindakan terhadap klinik mengenakan caj berlebihan.

Daroyah yang juga ADN Sementa berkata, proses berkenaan termasuk proses menerima aduan, proses penilaian aduan, siasatan dalaman dan siasatan rujukan klinik.

“Bagi proses akhir, Selgate mencadangkan kepada klinik tindakan yang harus diambil berdasarkan hasil siasatan aduan.

“Jika ia berlaku kali kedua, Selgate meletakkan klinik panel terbabit di dalam senarai perhatian berserta surat amaran.

“Jika masih berterusan, Selgate akan menggantung atau menamatkan kontraknya sebagai panel Skim Peduli Sihat,” katanya.