Categories
SELANGOR SUKANKINI

SRA Integrasi Seksyen 19 juara Piala RMS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 NOV: Penyertaan pertama Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 ternyata berbaloi dengan kejayaan menjuarai pertandingan bola sepak bawah 12 tahun Piala Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor edisi ke-30 tajaan Kumpulan Perangsang Selangor.

Kejuaraan itu diraih selepas pasukan itu menundukan pasukan Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 dengan jaringan 3-1 pada perlawanan akhir yang dilangsungkan di Padang Kelab SUK di sini, semalam.

Tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan Sekolah Subang Bestari 2 dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 20

Gol-gol perlawanan akhir dijaringkan oleh Muhammad Arif Danish Muhamad Jefri pada minit ke-14 dan 49 serta Muhammad Akid Mohd Zamri pada minit ke-37.

Sementara itu, gol saguhati pasukan Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 pula dijaringkan oleh Muhammad Afiq Anuar pada minit ke 25.

Kejuaraan SRA Integrasi Seksyen 19 itu menjadi lebih bermakna apabila pemain tengah mereka, Muhammad Akid turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Dia berjaya mencetak 11 jaringan sepanjang kejohanan dan pemain penyerang sekolah sama, Muhammad Arif pula dinobatkan sebagai Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Manakala, penjaga gol Sekolah Kebangsaan Seksyen 20, Muhammad Syazrul Haziq Zainuddin pula menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Anugerah Penyokong Paling Meriah diberikan kepada kumpulan penyokong Sekolah Kebangsaan Seksyen 24.

Sepak mula kejohanan sebagai medan mencungkil bakat baru itu bermula pada 10 Oktober lalu dengan melibatkan 32 pasukan yang terdiri daripada 20 sekolah rendah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah lagi di bawah PPD Petaling Utama.

Kejohanan yang mendapat tajaan Perangsang Selangor sebanyak RM100,000 itu menawarkan hadiah RM4,000 bagi pasukan bergelar juara, RM3,000 naib juara, RM2,000 tempat ke-3 dan RM1,000 untuk tempat ke-4.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari.

=EZY=