Categories
SELANGOR

Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai sasar pulih dua projek

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 NOV: Projek terbengkalai Kampung Desa Mawar, Kuala Selangor terpilih untuk dipulihkan di bawah Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT), kata Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar itu berkata, projek pembesaran terbabit membabitkan kos RM6.3 juta dan kini dalam proses pemulihan serta dijangka siap, pada Mac 2018.

Katanya, satu lagi projek dikenal pasti TEPAT ialah Pangsapuri Kos Rendah Limau Indah, Shah Alam dengan kos RM13 juta.

“Namun selepas kajian dijalankan, Kerajaan Negeri mendapati kos untuk memulihkan projek itu memerlukan suntikan dana lebih RM13 juta bagi menampung kos baik pulih yang mencecah RM38 juta.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri membuat keputusan supaya penyelesaian lebih menyeluruh untuk pangsapuri itu dibuka kepada pihak yang berminat untuk memulihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Telok Datok, Loh Chee Heng, berhubung kos dibelanja menerusi TEPAT untuk pemulihan projek terbengkalai.

Iskandar yang juga ADN Cempaka berkata, terdapat 105 projek terbengkalai membabitkan 23,374 unit di seluruh Selangor, setakat Jun lalu.

“Antara faktor projek terbengkalai adalah pemaju tidak melakukan ‘feasiblity study’ yang tepat hingga menyebabkan pemaju kekurangan dana untuk siapkan projek.

“Faktor lain termasuk pemaju kurang pengalaman, tiada dana untuk selesaikan masalah projek, pengurusan lemah serta tidak mendapat pinjaman daripada agensi kewangan,” katanya.