OLEH AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 2 NOV: Individu memohon pekerjaan melibatkan kanak-kanak perlu diwajibkan melalui tapisan penilaian bagi mengelakkan gejala seksual berlarutan.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pendedahan identiti pesalah kepada umum semata-mata tidak memberikan penyelesaian mutlak.
“Kita perlu melakukan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden ini berulang.
“Pelbagai kejadian seksual dilaporkan melibatkan guru dan kanak-kanak sekolah.
“Adalah penting untuk membuat pemeriksaan pra-pekerjaan dan pemeriksaan polis bagi guru, sukarelawan dan mereka yang bekerja atau mempunyai akses dengan kanak-kanak,” katanya.
Charles berkata, Timbalan Ketua Unit Penyiasatan Seksual (D11) Bukit Aman, Tan Gee Soon dilaporkan berkata, Malaysia di tangga ketiga di negara Asean untuk memiliki dan mengagihkan potnografi kanak-kanak.
Agensi berita Reuters turut melaporkan sebanyak 12,987 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan kepada antara Januari 2012 dan Julai 2017.
Daripada jumlah itu, 2,189 kes dibawa untuk pendakwaan dengan hanya melibatkan 40 sabitan.