Categories
SELANGOR

Umno-BN tidak hormat pilihan rakyat Selangor?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Umno-Barisan Nasional (BN) tidak menghormati pilihan rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan PRU-13 lalu apabila tidak membenarkan foto Dato’ Menteri Besar digantung di pejabat Kerajaan Persekutuan, di negeri itu.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan ia sepatutnya diperakui semua pihak.

“Walaupun nampak seperti masalah remeh tetapi sebenarnya menunjukkan Umno-BN tidak menghormati pilihan rakyat dan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan kuasa membuat pilihan dalam pilihan raya,” katanya kepada SelangorKini, semalam.

Beliau berkata, Umno-BN dinasihatkan supaya menerima hakikat mereka bukan lagi pilihan rakyat Selangor apabila dua kali ditolak, dalam dua pilihan raya sebelumnya.

Bagaimanpun katanya, hal itu berbeza dengan tindakan Kerajaan Negeri mengarahkan jabatan di bawah seliannya memberhentikan langganan Utusan Malaysia ekoran akhbar terbabit tidak menyalurkan maklumat yang memberi faedah kepada kakitangan awam Selangor.

“Sudah pasti Kerajaan Negeri ada hak memilih akhbar mana yang mahu dilanggan kerana ia bertitik tolak kepada dasar kerajaan baru dengan lebih menekankan fakta tepat dan berita sahih.

“Kita sedia maklum Utusan Malaysia hanya satu cabang media dengan semua pihak bebas membuat pilihan dan saya percaya Kerajaan Negeri masih melanggan akhbar lain yang walaupun cenderung kepada parti pemerintah tetapi laporannya mungkin masih ada unsur mendidik rakyat,” katanya.