OLEH SABIRAH AZIZ
SERI KEMBANGAN, 19 NOV: Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyokong aspirasi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bagi memperkasakan anak-anak muda yang kurang bernasib baik mengembangkan bakat dan kemahiran mereka ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, perkara itu dapat dilaksanakan melalui penyertaan syarikat korporat, anak syarikat negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang turut menyumbang ke arah pembangunan modal insan.
“Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memberi galakan penyertaan daripada agensi terlibat ini bagi sama-sama menyumbang melalui yayasan ini.
“Ianya khusus membantu anak-anak tidak berpeluang melanjutkan pelajaran atau mengembangkan bakat dan kemahiran mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena kejohanan Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor edisi ketiga 2017, semalam.
Dalam majlis itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.
Kejohanan kali ini disertai 120 pemain terdiri daripada pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) badan korporat dan swasta.
Ia bertujuan mendapatkan sumbangan bagi melahirkan lebih ramai anak muda berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.
Penganjuran golf itu menawarkan tiga kategori iaitu Medal A, Medal B dan Medal C.
Kategori A dijuarai Ahmad Fadali Baharuddin, kategori B dimenangi Muhamad Abdul Rahman sementara juara kategori C dimenangi Datuk Jalil Marzuki.
Manakala juara keseluruhan pula dimenangi Mohamad Yusly Askandar.
Kejohanan pada kali ini juga berjaya mengumpul sebanyak RM1.27 juta hasil sumbangan daripada 22 penajaan seperti Eco World Dev Group Bhd, Prolintas, Aeon dan LBS Group.
=EZY=