Categories
SENI

85 karya di Pameran Terbuka 2017

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 85 karya dipamerkan daripada 228 penyertaan yang diterima dalam Pameran Terbuka 2017 yang bermula 27 November lalu hingga 23 Februari 2018, di Galeri Shah Alam, di sini.

Melalui jumlah itu, ia menunjukkan peningkatan penyertaan sebanyak 16 peratus berbanding 196 peserta pada tahun lepas.

Pameran tersebut menampilkan karya yang dihasilkan daripada cat akrilik, cat air, fotografi, arca, seni cetak, media campuran dan instalasi.

Ia bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelukis dan karyawan bagi meluahkan ekspresi serta menonjolkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang media dan seni visual, khususnya golongan muda tanpa mengira etnik dan jantina.

Diadakan di Galeri 1 dan 2, pameran dibuka kepada pengunjung bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan ditutup pada cuti am.

Pameran tersebut telah dirasmikan oleh Tan Sri Sanusi Junid, hari ini.

Turut hadir ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor, Prof Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

Dalam majlis itu, sebanyak lima pengkarya menerima Anugerah Insentif dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan.

=EZY=