Categories
SELANGOR

‘Badang’ gegar Selangor Strongestman and Woman

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 DIS : Kemunculan orang kuat atau ‘Badang’ bakal menggegarkan penganjuran Pertandingan PREC Selangor Strongestman and Woman, di SACC Walk dan Sacc Mall, 30 dan 31 Disember ini.

PKNS dalam kenyatannya memaklumkan, program anjuran Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu bakal menampilkan atlet dalam dan luar negara seperti Brunei, Australia, Singapore, Thailand dan Indonesia.

“Kebiasaannya pihak penganjur Pertandingan Orang Kuat menghadkan penyertaan kepada 40 hingga 50 atlet sahaja.

“Namun, PREC Selangor Strongestman and Woman pada tahun ini bakal mencatat satu rekod baru sebagai pertandingan pertama yang menerima penyertaan paling ramai dalam sejarah Malaysia dan Asia iaitu seramai 70 atlet.

”Kekuatan para atlet bakal diuji dengan beberapa rutin membuktikan kemampuan mereka dengan menarik jentera berat seperti bas, jentera bomba dan kapal,” kata kenyataan itu.

Menurut PKNS, tahun ini juga bakal menyaksikan perubahan daripada pihak penganjur dengan memperkenalkan rutin baharu iaitu cabaran menarik treler seberat 25 tan.

“Sinonim dengan perkataan orang kuat, syarat yang telah ditetapkan bagi menyertai pertandingan ini ialah peserta wajib kuat.

“Rutin yang bakal dijalankan bukan sahaja memerlukan kekuatan mental dan fizikal, malahan pertandingan ini juga menuntut peserta untuk mempunyai semangat juang yang tinggi,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Sr. Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penganjuran PREC Selangor Strongestman and Woman tahun ini mampu memberi impak positif kepada sukan orang kuat dan membuka mata masyarakat tentang kewujudan sukan ini.

“Penglibatan orang kuat dari dalam dan luar negara di dalam pertandingan ini mampu meningkatkan ekonomi Selangor dan memberikan tambah nilai kepada Tourism Selangor.

“Orang muda dialu-alukan menceburkan diri di dalam sukan ini agar mereka dapat menjadi pelapis atlet yang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Selangor Strongestman adalah acara tahunan yang diperkenalkan pada 2015 dan diadakan pada setiap tahun.

Sejak dari itu, sebanyak 10 atlet berjaya dilatih mewakili Malaysia dan mencapai pingat gangsa dan Perak pada Kejohanan Asia dan Dunia.

Antara atlet yang telah digilap bakatnya ialah atlet termuda Malaysia berumur 21 tahun dan mempunyai kedudukan top 100 manusia terkuat di dunia.

Persatuan Sukan Orang Kuat Malaysia pada hari ini duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan persatuan sukan lain dan ia turut mendapat pengiktrafan dari Kementerian Belia dan Sukan.

Semakin hari sukan orang kuat ini menjadi bualan orang ramai dan mula dikenali seluruh Malaysia.