Categories
GLOBAL

Erdogan: Tarik balik sekatan ekonomi Sudan

GLOBAL 26 DIS: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa sekatan ekonomi terhadap Sudan ditarik sepenuhnya.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY melaporkan Turki komited untuk memberikan sokongan terhadap Kerajaan Sudan dan terus berdiri bersama-sama rakyat negara itu.

Erdogan dalam ucapan pada majlis penganugerahan Doktor Kehormat Undang-Undang kepadanya oleh Universiti Khartoum menyatakan sekatan itu merompak masa depan Sudan.

“Kasih sayang saudara kami di Sudan membuatkan kami berasa seperti berada di Istanbul, negara kami, bukan di Khartoum,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Amerika Syarikat memutuskan menarik balik sekatan ekonomi ke atas Sudan tetapi masih mengekalkan negara itu dalam senarai negara menyokong keganasan.

Erdogan tiba di ibu negara Sudan itu kelmarin sebagai persinggahan pertamanya dalam lawatan ke Afrika yang turut membawa beliau ke Chad dan Tunisia.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua negara dapat diperkukuhkan dalam bidang pelancongan.

=EZY=