OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 9 DIS: Golongan kleptokrasi yang bersenang-lenang di atas aktiviti rasuah sebenarnya menggugat hak asasi rakyat, termasuk mereka yang belum lahir, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Dato’ Menteri Besar itu berkata, perbuatan tidak bermoral itu menyebabkan kekayaan yang sepatutnya menjadi milik rakyat sewenang-wenangnya dibawa keluar dari Malaysia.
Katanya, antaranya, isu rasuah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sejak awal merupakan isu hak asasi yang menjejaskan negara tercinta.
“Dalam usaha politikus rasuah menjalankan kegiatan salah atau mengelakkan pengadilan, pelbagai pelanggaran hak asasi boleh dilakukan oleh penjenayah kolar putih ini.
“Pengkritik boleh dipenjara atau dihukum denda seperti penggunaan Akta Hasutan dan sesiapa yang mendedahkan kesalahan mereka boleh hilang kehidupan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 9 Disember setiap tahun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkannya sebagai Hari Anti Rasuah Sedunia, diikuti Hari Hak Asasi Sedunia pada 10 Disember.
Mohamed Azmin berkata, institusi demokrasi juga rakus diperalat demi membolehkan mereka yang tidak amanah meragut kekayaan negara.
“Dalam usaha melarikan diri daripada pengadilan politikus rasuah boleh mempergunakan institusi undang-undang; hakim ditekan, Peguam Negara boleh dipecat dan inilah yang dilakukan kleptokrat.
“Namun, di Selangor, kita bertanggungjawab kepada masyarakat, telus dalam urusan kewangan dan mengamalkan urus tadbir baik demi mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat,” katanya.
=EZY=