Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persekutuan perlu beri peruntukan besar untuk Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 DIS : Kerajaan Persekutuan perlu memperuntukkan sejumlah perbelanjaan lebih tinggi kepada Selangor dalam Belanjawan Persekutuan akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keperluan itu adalah relevan memandangkan sumbangan Selangor dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita beri (hasil) kepada Kerajaan Persekutuan lebih kurang RM250 bilion, tetapi pulangan yang diterima Selangor adalah sangat kecil.

“Ia tidak seimbang langsung dengan apa yang diberikan Selangor. Saya tahu tidak perlu bagi saya untuk meminta terlalu lebih kerana keperluan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri lain.

“Tetapi sepatutnya peruntukan diberikan kepada Selangor pada kadar 10 peratus dan bukannya satu peratus seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Peduli Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, di Pangsapuri PKNS Seksyen 7, hari ini.

Terdahulu, Selangor kekal mendahului pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan perolehan peratusan melebihi 20 peratus jauh meninggalkan negeri-negeri lain.

Mohamed Azmin sebelum ini percaya, kejayaan itu didorong hasil komitmen dan gerak kerja pentadbiran negeri dan peluang pelaburan luar yang semakin bertambah positif.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, kejayaan itu akan terus menjadi landasan kepada Selangor untuk terus memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

=EZY=