OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 8 DIS: Tidak hanya bersandarkan kepada retorik politik semata-mata, Kerajaan Negeri komited membantu kebajikan rakyat melangkaui perbezaan agama dan bangsa.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pemberian bantuan RM3.67 juta membabitkan 408 rumah ibadat bukan Islam, di seluruh negeri.
“Jumlah ini sebahagian dari RM6 juta peruntukan yang disalurkan untuk Persatuan Orang Bukan Islam di Selangor, sekali gus membuktikan kita bukan retorik menyokong kebebasan beragama tetapi beri makna sebenar dengan menghulurkan bantuan untuk aktiviti keagamaan.
“Selain itu, bantuan boleh digunakan bagi projek pembaikan pusat ibadat bukan Islam, sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat untuk semua agama dan kaum,” katanya.
Beliau bercakap demikian kepada SelangorKini, pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam, di Bangunan Annex, di sini.
Untuk rekod, bantuan di daerah Pentaling mencatatkan peruntukan tetinggi dengan RM724,400.
Sementara itu, Klang menerima RM716,000, Gombak (RM164,000), Hulu Langat (RM445,200), Sepang (RM142,400), Kuala Langat (RM235,000) dan Kuala Selangor (RM154,000).
Daerah Hulu Selangor pula menerima bantuan RM325,000 dan Sabak Bernam (RM301,600).
Pada masa sama, peruntukan turut disalur bagi penganjuran Perayaan Poh Toh sebanyak RM81,000 dan Persatuan Perkuburan (RM390,000).