Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Sesi tergempar PBB Khamis ini bincang Baitulmaqdis

NEW YORK 20 DIS: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sesi tergempar Khamis ini untuk mendapatkan undian bagi merangka resolusi menolak pengiktirafan dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan sesi tergempar membabitkan 193 negara anggota itu diminta oleh Turki dan Yaman sebagai mewakili negara Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sesi tergempar berkenaan dimaklumkan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miroslav Lajcak kepada semua 193 delegasi menerusi surat yang dihantar lewat Isnin.

AS pada Isnin menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi berkenaan yang menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan Baitulmaqdis tidak memiliki sebarang kesan perundangan dan perlu dibatalkan.

Mesir sebelum ini telah menyerahkan draf resolusi yang mendapat sokongan 14 negara anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) manakala duta Palestin, Riyad Mansour berkata, draf resolusi hampir sama akan diserahkan pada perhimpunan berkenaan dan berharap ia menerima sokongan luar jangkaan.

“Perhimpunan Agung ini tanpa rasa gentar kepada kuasa veto akan menyuarakan pendirian komuniti antarabangsa bahawa mereka menolak pendirian AS dalam isu ini,” katanya.

Tiada negara yang memegang kuasa veto dalam perhimpunan berkenaan, berlainan dengan UNSC yang menyaksikan Britain, China, Perancis, Russia dan AS mempunyai kuasa untuk menyekat sebarang resolusi.

=EZY=