Categories
GLOBAL

Turki: Israel negara pengganas, Palestin mangsa tak bersalah

ANKARA 12 DIS: Hubungan antara Israel dan Turki bertukar tegang kelmarin ketika pemimpin masing-masing saling melemparkan tuduhan terlibat dalam keganasan, beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Rejim Zionis.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata dalam ucapannya di Istanbul bahawa beliau akan menentang deklarasi kontroversi itu dan melabelkan Israel negara pengganas yang membunuh kanak-kanak, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Beberapa jam kemudian, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula membidas Erdogan sebagai pemimpin yang mengebom kampung-kampung puak Kurdis dan menyokong pengganas.

Kedua-dua negara itu menjalinkan hubungan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun perang lidah kelmarin tercetus selepas Turki berang dengan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Langkah Trump itu mencetuskan bantahan selama empat hari di negara Arab dan Islam.

“Palestin ialah mangsa yang tidak bersalah. Bagi Israel pula, ia sebuah negara pengganas, ya, pengganas,” kata Erdogan.

“Kami tidak akan membiarkan Baitulmuqaddis menjadi mangsa negara yang membunuh kanak-kanak,” tambahnya.

Erdogan menggunakan gilirannya sebagai Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memanggil sidang tergempar OIC esok.

Semasa ucapannya, Erdogan memegang sekeping gambar yang, katanya, memaparkan seorang kanak-kanak lelaki Palestin berumur 14 tahun dari Hebron, Tebing Barat sedang diseret oleh askar-askar Israel.

=EZY=