Categories
NASIONAL

Angin kencang hingga Ahad

SHAH ALAM, 9 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) di perairan Condore, utara Reef North dan utara Palawan, bermula esok hingga Ahad depan.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5 meter itu berbahaya kepada aktiviti perkapalan, perkhidmatan feri serta menangkap ikan.

Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

“Ia turut menjejaskan perairan tenggara Samui, Tioman, Bunguran, selatan Reef North, Layang-layang, Reef South, Labuan dan selatan Palawan,” kata kenyataan itu.

MetMalaysia berkata, bagi perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, sebahagian kawasan Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah dan Labuan, dijangka berlaku angin kencang Timur Laut sehingga Ahad.

“Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka bermula Khamis hingga Ahad depan,” katanya.