Categories
GLOBAL

Gaji kakitangan awam Arab Saudi naik sehingga RM1,000

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

ARAB SAUDI 6 JAN: Raja Salman pada Sabtu mengeluarkan beberapa arahan dalam Perintah Diraja untuk membantu rakyat negara itu ekoran keputusan kerajaan sebelum ini menaikkan harga bahan api dan memperkenalkan cukai nilai tambahan (VAT).

ARAB NEWS melaporkan Raja Salman mengarahkan bayaran gaji bulanan kakitangan awam dinaikkan sehingga 1,000 riyal (RM1,067) untuk 12 bulan sebagai pampasan kepada peningkatan kos hidup efektif 1 Januari 2018.

Raja Salman juga mengarahkan bayaran 5,000 riyal kepada anggota tentera yang berkhidmat di barisan depan di Yaman.

Untuk membantu perbelanjaan hidup, penerima kebajikan dan pesara akan mendapat tambahan bulanan SR500 bulanan untuk sepanjang tahun.

Gaji kerajaan sekarang akan dibayar pada 27hb setiap bulan dengan semua bil perkhidmatan yang dikeluarkan seminggu kemudian.

Pelajar juga dibantu dalam keputusan raja dengan kenaikan 10 peratus dalam elaun selama 12 bulan akan datang.

Kerajaan Arab Saudi juga akan menanggung impak pelaksanaan VAT dengan menyerapnya untuk kebajikan rakyat khususnya dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta.

Terdapat juga berita baik untuk pembeli rumah pertama kali dengan kerajaan membayar VAT – tidak melebihi SR850,000 – pada pembelian.