Categories
NASIONAL

Jangan boikot PRU14, undi PAKATAN untuk perubahan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) meminta rakyat tidak memboikot Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mengundi gabungan itu untuk menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN) demi kebaikan negara.

PAKATAN dalam kenyataan berkata, memilih selain gabungan itu, merosakkan atau tidak keluar mengundi hanya akan menguntungkan Datuk Seri Najib Razak dan kumpulan kleptokrat yang mahu terus bermaharajalela

“Amat jelas perubahan di Malaysia hanya akan datang dengan memilih PAKATAN dan merubah kerajaan, pada PU14,” katanya.

Kenyataan itu dibuat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyinddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Ia sebagai reaksi terhadap usaha pihak dan kumpulan tertentu berhubung isu merosakkan undi atau memboikot PRU14 sebagai tanda protes.

Selain itu, katanya, wujud kumpulan propagandis Umno-BN dalam usaha mengurangkan minat pengundi untuk memastikan gagasan berkenaan kekal memerintah.

Katanya, kumpulan kedua adalah ‘anti-establishment’ berperanan sebagai pemberi tekanan dan menggunakan hujah demokratik.

“Walaupun PAKATAN menghormati pandangan mereka, tindakan ini hanya sesuai dalam keadaan demokrasi yang adil dan dalam keadaan Malaysia hari ini, jelas tindakan merosak undi atau memboikot pilihan raya hanya akan menghukum PAKATAN dan menguntungkan Umno-BN.

“PAKATAN berjuang untuk menegak keadilan, mereformasi institusi di Malaysia dan mengatasi atau menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

“Lihat sahaja kejayaan PAKATAN mentadbir Selangor dan Pulau Pinang. Malaysia perlu diselamatkan. Pilih perubahan. PRU14 nanti, pilih PAKATAN,” katanya.