Categories
SELANGOR

Jangan panik nampak paip pecah

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 24 JAN: Penduduk di sekitar Seksyen 17, Petaling Jaya diminta bertenang jika menemui paip bocor, di jalan kawasan kediaman mereka kerana kerja menguji sambungan paip baru sedang dilakukan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berkata, kerja pemeriksaan paip baru menahan tekanan air sedang dilakukan kontraktor bertanggungjawab dalam tempoh tiga minggu bagi memastikan semua sambungan dilaksanakan dengan baik.

“Standard yang ditetapkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk penyaluran tekanan air ke kawasan kediaman adalah 2.2 bar.

“Untuk ujian pertama, tekanan air diletakkan pada kadar 15 bar selama 10 minit bagi menyemak sama ada berlaku kebocoran, pada sambungan paip baru.

“Jika ada kebocoran, bacaan meter akan turun. Untuk ujian kedua, tekanan diletakkan pada 12 bar selama 24 jam,” katanya pada sesi lawatan tapak menguji paip baru, di Jalan 17/3, di sini.

Sebelum ini, berlaku salah faham dalam kalangan penduduk yang menyangka berlaku kebocoran terhadap paip baru, sedangkan ia belum disambung secara terus kepada sistem SYABAS.

Rajiv berkata, jika berlaku kebocoran, ia hanya membabitkan sambungan paip baru dan tidak mengganggu sumber air penduduk yang disalurkan mengikut paip lama.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kekeliruan, satu papan tanda yang menyatakan paip baru sedang diuji diletakkan untuk makluman penduduk setempat.

“Fasa akhir nanti akan membabitkan sambungan dari paip utama bawah tanah ke meter setiap rumah dan ke sistem SYABAS. Kerja sambungan dijangka hanya membabitkan gangguan air selama enam jam sahaja.

“Apabila kerja penyambungan siap, semua jalan akan diturap semula dan penduduk akan mendapat jalan lebih selesa,” katanya.

Fasa pertama kerja mengorek dan menanam semula paip baru sudah disiapkan sepenuhnya sejak dimulakan, pada April 2017.

Kerja penggantian itu membabitkan hampir 2,000 rumah dengan jarak keseluruhan 16 kilometer.

Kawasan lain yang turut dinaik taraf adalah di Seksyen 5 dan Kayu Ara.