Categories
SELANGOR

MB nafi gagal bayar dana pembangunan DUN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan wujudnya kesilapan teknikal yang didakwa menjadi punca berlakunya pertikaian kelewatan pembayaran dana pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu.

Beliau menegaskan, sekiranya wujud sebarang pertikaian berhubung isu itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) disaran mengemukakannya kepada pentadbiran negeri secara telus, tanpa perlu mengheret isu terbabit ke Istana.

“Mana-mana ADN yang ada masalah peruntukan pembangunan, boleh berbincang dengan pegawai daerah atau dengan saya sendiri sebab ini soal pentadbiran.

“Tidak perlulah sampai jumpa Tuanku (Sultan),” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Kasih Ibu Smart Selangor KISS di Padang Awam Kampung Permatang, petang ini.

Beliau diminta mengulas laporan media laporan media yang mendedahkan wujudnya gerakan tertentu yang akan menghadap Sultan Selangor, sekiranya masalah pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat tidak diselesaikan dengan segera.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin percaya, kelewatan berpunca daripada pengangihan di peringkat perbendaharaan yang perlu diperkemas secara berkesan.

“Ini adalah peruntukan tahunan, dan setiap ADN akan terima peruntukan pembangunan itu pada 1 Januari.

“Namun, penyaluran di peringkat perbendaharaan kepada pejabat daerah mungkin mengambil sedikit masa.

“Tetapi saya mengambil pendirian bahawa pelaksanaan itu mesti disegerakan kerana kita tidak mahu program pembangunan di peringkat daerah terganggu,” katanya.