Categories
NASIONAL

Noh, letak jawatan jika minat jadi agen propaganda

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Tindakan Tan Sri Noh Omar mempertikaikan akhbar rasmi Kerajaan Negeri, SelangorKini tidak mencerminkan tahap pemikiran seorang menteri.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, tuduhan dilemparkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu yang mengatakan SelangorKini melaporkan berita berunsur politik adalah tidak berasas.

Katanya, SelangorKini adalah lidah rasmi Selangor dan akan sentiasa melaporkan pencapaian utama Kerajaan Negeri.

“Setiap usaha untuk rakyat akan dijadikan bahan berita dan tentunya perkara ini menyebabkan Noh tidak senang duduk.

“Adakah Noh mahu hasil kerjanya di Parlimen Tanjung Karang diselit dalam SelangorKini, namun kerja yang tiada hasil kepada rakyat tentunya tidak akan mendapat tempat di dada akhbar itu,” katanya.

Justeru, Naqib menasihatkan Noh untuk menumpukan kepada kerja bermanfaat demi rakyat daripada menjadi agen propaganda.

Beliau secara sinis turut mencadangkan Noh meletak jawatan sebagai menteri dan memberi tumpuan sebagai penulis blog.

Terdahulu, Noh Omar memohon Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau dan menghentikan pengedaran SelangorKini kerana mendakwa akhbar itu melaporkan berita politik, khususnya membabitkan aktiviti Pakatan Harapan.