Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pakatan Harapan umum Tun M calon PM, Dr Wan Azizah TPM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengumumkan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri apabila memperoleh mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-14.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dipilih sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sekaligus menyaksikan keputusan sebulat suara itu dicapai sebagai Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan yang ditandatangani keempat-empat pemimpin tertinggi parti semalam.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018.

“Untuk memperkukuh kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilakukan segera selepas mengambil alih pentadbiran negara.

“Keadaan itu bagi membolehkan Anwar segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri kelapan,” katanya.

Pengumuman itu disambut dengan laungan ‘Hidup Tun’ dan ‘Reformasi’ yang menghangatkan lagi sesi konvensyen di sebelah petang.

Dalam perjanjian yang disepakati juga Pakatan Harapan sudah memutuskan pembahagian 165 kerusi Parlimen di bahagian Semenanjung Malaysia.

Parti BERSATU akan bertanding 52 kerusi diikuti KEADILAN, 51 kerusi, DAP, 35 kerusi dan 27 kerusi lagi diperuntukkan kepada AMANAH.

=EZY=