Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengerusi LKIM gagal kendali agensi seliaannya

Dakwaan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terhadap sikap berdolak-dalik Kerajaan Negeri Selangor melalui kenyataan Sinar Harian pada 31 Disember 2017 yang lalu khususnya mengenai status tanah bagi jeti-jeti LKIM dan pusat pendaratan ikan yang ada di perairan negeri Selangor amat menghairankan, jelas menampakkan kelemahan beliau sendiri mengendalikan agensi dibawah seliaanya.

Permohonan jeti bagi keseluruhan jeti-jeti di bawah seliaan LKIM iaitu sebanyak 51 buah jeti telah diluluskan secara dasar di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor Bil.4/2015 yang diadakan pada 7 Disember 2015.

Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah mengeluarkan surat pemakluman kelulusan kepada LKIM pada 26 Januari 2016 di mana LKIM perlu mendapatkan kelulusan penggunaan tanah daripada Pentadbir Tanah sebelum Lembaga mengeluarkan lesen jeti.

Sehingga hari ini, LUAS masih belum menerima sebarang permohonan lengkap atau pelan ukur bagi semua jeti termasuk jeti di Klang daripada LKIM untuk pengoperasian jeti.

LUAS juga telah membuat pemakluman kepada semua agensi dan pihak berkepentingan di setiap daerah yang terlibat. Bancian semula telah diadakan di setiap daerah bagi mendapatkan maklumat sebenar di tapak untuk langkah pemutihan jeti dilaksanakan.

Permohonan jeti sebanyak 86 buah jeti bagi kawasan Sekinchan telah mendapat kelulusan LMS melalui MMKN Bil 20/2017 bagi tempoh 2 tahun sehingga tanah yang dipohon diwartakan.

Manakala kawasan Sungai Besar dalam peringkat penyediaan pelan ukur sebelum tindakan lanjut bagi kelulusan tanah dibuat oleh Pejabat Tanah Sabak Bernam.

Pendaftaran jeti ini adalah selaras dengan Seksyen 43 dan Seksyen 70 Enakmen LUAS 1999 yang mana ianya adalah sebagai langkah kawalan terhadap aktiviti yang berhampiran dengan sumber air.

Dalam masa yang sama, kelulusan penggunaan tanah melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau Permit Penggunaan Tanah perlu diperolehi oleh pemohon daripada pihak Pejabat Daerah/Tanah dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sementara tapak tersebut diwartakan dengan kadar caj yang ditetapkan oleh kedua-dua agensi/jabatan tersebut.

Selain itu, kebenaran merancang atau kelulusan lain yang berkaitan juga perlu diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Kerajaan Negeri begitu komited dalam menyelesaikan masalah rakyat lebih-lebih lagi menjaga kebajikan mereka yang meningkatkan pendapatan sektor pertanian yang terdiri daripada petani, pesawah, peladang, penternak dan juga nelayan.

Tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim itu amatlah tidak wajar bahkan seolah-olah cuba mengelirukan rakyat dalam soal isu status tanah tersebut.

Sekian, terima kasih.

ZAIDY ABDUL TALIB

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam,

Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani