Categories
SELANGOR

Pengerusi LKIM jangan salahkan Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerajaan Negeri membidas tindakan berdiam diri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang masih gagal mengemukakan permohonan lengkap kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung status tanah jeti, di bawah seliaannya.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, LUAS sudah mengeluarkan surat pemakluman kelulusan kepada LKIM, pada 26 Januari 2016 dan mereka perlu mendapat kelulusan daripada pentadbir tanah sebelum mengeluarkan lesen jeti.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini, LUAS masih belum menerima permohonan lengkap atau pelan ukur bagi semua jeti termasuk di Klang daripada LKIM untuk pengoperasian jeti.

“Permohonan jeti di bawah seliaan LKIM sebanyak 51 buah diluluskan secara dasar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Selangor Bil.4/2015, pada 7 Disember 2015.

“Dakwaan pengerusinya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim terhadap sikap berdolak-dalik Kerajaan Negeri, khususnya berkenaan status tanah bagi jeti LKIM dan pusat pendaratan ikan di perairan Selangor amat menghairankan serta jelas menampakkan kelemahan beliau mengendalikan agensi di bawah seliaanya,” katanya.

Zaidy berkata, LUAS juga sudah membuat pemakluman kepada semua agensi dan pihak berkepentingan di setiap daerah yang terbabit dengan bancian semula bagi mendapatkan maklumat sebenar di tapak untuk langkah pemutihan jeti dilaksanakan.

Katanya, permohonan 86 jeti bagi kawasan Sekinchan sudah mendapat kelulusan LMS melalui MMKN Bil 20/2017 bagi tempoh dua tahun sehingga tanah yang dipohon diwartakan.

Manakala bagi kawasan Sungai Besar dalam peringkat penyediaan pelan ukur sebelum tindakan lanjut kelulusan tanah dibuat Pejabat Tanah Sabak Bernam.

“Pendaftaran jeti ini selaras Seksyen 43 dan Seksyen 70 Enakmen LUAS 1999 sebagai langkah kawalan terhadap aktiviti berhampiran sumber air.

“Pada masa sama, kelulusan penggunaan tanah melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau Permit Penggunaan Tanah perlu diperolehi pemohon daripada Pejabat Daerah/Tanah dan Jabatan Perhutanan Selangor, sementara tapak terbabit diwartakan dengan kadar caj ditetapkan agensi berkenaan.

“Selain itu, kebenaran merancang atau kelulusan lain juga perlu diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.