Categories
NASIONAL

Sabotaj calon bertanding dianggap sebagai pengkhianat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu menyokong semua calon terbaik yang ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) daripada keempat-empat parti komponen dan mengelakkan sebarang sabotaj.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak yang cuba mensabotaj calon yang ditampilkan di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi dianggap sebagai pengkhianat.

“Setiap parti letak calon terbaik. Tiada kawasan yang tidak akan ditandingi.

“Kita mesti sokong calon kita. Tidak kira parti mana, semuanya adalah calon kita.

“Jangan ada pihak cuba sabotaj, dianggap sebagai pengkhianat,” katanya.

Katanya, soal pembahagian kerusi bertanding dijangka akan dimuktamadkan sepenuhnya dan semua pihak perlu bertolak ansur menerima keputusan yang dibuat.

Bercakap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 beliau meminta semua perwakilan tidak meragui saf kepimpinan sedia ada dan patuh dengan arahan dikeluarkan.

Selain itu, semua pihak perlu menyusun gerak kerja dan menyantuni bakal pengundi yang juga disifatkannya sebagai ‘raja’.

=EZY=