Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Mantapkan gerak kerja, muafakat tuju Putrajaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) harus membawa mesej perubahan, menangi hati rakyat dengan bertekad membawa negara keluar dari kemelut ekonomi dan bebanan hidup.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PAKATAN juga perlu dilihat teguh bersatu, kukuh dan mantap kesatuannya di mata rakyat.

Katanya, gerak kerja jentera di semua peringkat perlu dimantapkan dan sokongan rakyat melalui gerakan massa perlu digembleng bagi menumpaskan rejim Umno-BN.

“Setiap perbezaan, percanggahan harus diselesaikan di meja perundingan bukannya di media arus perdana.

“Kita perlu manfaatkan setiap data dari agensi sahabat dan badan penyelidikan seperti INVOKE, Institut Darul Ehsan dan Penang Institute.

“Bekerjalah sebagai satu pasukan PAKATAN dan fokus pada musuh yang satu iaitu kebobrokan kepimpinan Putrajaya,” katanya pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018, di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau diumumkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri PAKATAN selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN itu mengingatkan semua untuk berjuang dengan ikhlas dan demi masa hadapan generasi akan datang.

“Agenda utama yang boleh kita jadikan landasan asas perjuangan adalah dengan mengguna pakai Deklarasi Permatang Pauh.

“Ayuh kita bulatkan tekad dan azam, tiupkan roh dan semangat perjuangan bangkit menentang Umno-BN,” katanya.

INTISARI UCAPAN:

Untuk memenangi pilihanraya dan memenuhi harapan rakyat beberapa prasyarat perlu dipenuhi antaranya;

1. PAKATAN perlu dilihat teguh bersatu,kukuh dan mantap kesatuannya di mata rakyat

2. Setiap perbezaan,percanggahan harus diselesaikan di meja perundingan bukannya di media arus perdana.

3. Gerak kerja jentera disemua peringkat perlu dimantapkan dan sokongan rakyat melalui gerakan massa perlu digembleng bagi menumpaskan rejim BN.

4. Memanfaatkan setiap data dari agensi sahabat dan badan penyelidikan seperti INVOKE, Institut Darul Ehsan dan Penang Institute.

5. Bekerja sebagai satu pasukan PAKATAN dan fokus pada musuh yang satu iaitu kebobrokan Barisan Nasional.

6. Ikhlaskan hati, berjuanglah demi masa depan generasi akan datang.

=EZY=