Categories
SELANGOR

JPK-SAS kaji selaraskan tarif air apartmen servis sebagai kediaman

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS) menjalankan kajian untuk menyelaraskan tarif bekalan air bagi apartmen servis sama seperti kediaman lain seperti kondominium dan rumah teres.

Pengerusi JPK-SAS, Ng Tze Han, berkata hal ini kerana pada masa ini tarif air yang dikenakan terhadap apartmen servis adalah tarif komersial dan bukannya kediaman.

“Bil servis apartmen ini ditarifkan sebagai komersial kerana geran tanah adalah komersial tetapi oleh kerana di kawasan bandar, servis apartmen ini dijadikan kediaman biasa seperti kondominum atau rumah teres biasa tetapi di bawah terdapat pusat membeli belah.

“Kami perlu lihat geran tanah dan rancangan tempatan adakah pembangunan ini dikategorikan di bawah komersial atau kediaman di mana kebanyakkan yang kita nampak bangunan tinggi di kawasan bandar adalah servis apartmen dan di bawahnya kedai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup JPK-SAS berhubung pengurusan air Selangor dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) di Bilik Mesyuarat Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, keadaan itu menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemilik aparmen servis apabila terdapat hartanah lain yang bernilai lebih tinggi seperti kondominium mewah dan rumah teres menikmati tarif lebih rendah berbanding mereka.

Katanya, keadaan itu terjadi bukanlah disebabkan kecuaian mana-mana pihak tetapi disebabkan syarat tanah seperti tertakluk di bawah undang-undang tanah negara.

Pendengaran tertutup yang diadakan pagi tadi turut dihadiri anggota JPK-SAS, Dr Idris Ahmad, wakil Syarikat Air Selangor dan wakil LPHS.

=EZY=