Categories
NASIONAL

PAKATAN optimis bantu rakyat miliki rumah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) optimis peralihan kuasa kepada gabungan itu mampu menyelesaikan krisis kesukaran rakyat memiliki kediaman sendiri, pada masa kini.

Ketua Pemudanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak gagal mengotakan janji menyediakan rumah mampu milik, pada kadar berpatutan kepada rakyat.

Beliau berkata, pihaknya juga menjanjikan pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam dua penggal dan tekad bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan ia terlaksana.

“Kami juga menggariskan penghasilan kerja baru dan peningkatan gaji minima RM1,500.

“Jika negara ini terus di jalan ini, percayalah majoriti rakyat tidak akan mampu memiliki rumah sendiri dan ini bukanlah masa depan yang kita mahukan.

“Ini harus diubah, dan ia hanya akan boleh diubah jika kita menukar Kerajaan Persekutuan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, kaji selidik terkini Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan isu perumahan di Malaysia dilaporkan berada pada tahap ‘tidak mampu dan genting’ berdasarkan piawaian antarabangsa.

BNM menggariskan beberapa faktor utama menyebabkan berlakunya hal berkenaan iaitu; bekalan dan permintaan tidak sepadan, lebih banyak rumah dibina pada tahap tidak mampu serta pendapatan isi rumah meningkat, pada kadar lebih perlahan daripada harga rumah.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pendedahan itu membuktikan krisis perumahan negara berada pada tahap membimbangkan dan perlu diselesaikan segera.

“Sekali lagi negara ini perlu menerima hakikat kita mempunyai masalah besar berkenaan kemampuan dalam sesuatu perkara asas seperti perumahan.

“Semakin banyak keluarga tidak mampu memiliki rumah sendiri dan generasi muda pula perlu bergelut dengan kenaikan kos hidup serta hutang banyak, apatah lagi untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.