Categories
SELANGOR

Pembeli kediaman dinasihatkan teliti status hartanah sebelum beli

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 FEB: Orang ramai yang berhasrat membeli kediaman bertingkat dinasihatkan supaya meneliti status atau syarat tanah projek pembangunan terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), Ng Tze Han, berkata hal ini berikutan terdapat sesetengah pembeli tidak menyedari kediaman yang mereka beli sebenarnya dibangunkan di atas tanah bersyarat komersial.

“Ada sesetengah pembeli tidak mendapat penerangan secukupnya ketika membeli rumah dan ini menyebabkan mereka tidak sedar rumah yang mereka beli itu dibina di atas tanah komersial.

“Setelah pembeli rumah pindah masuk barulah mereka sedar bil yang mereka bayar sebenarnya lebih mahal daripada kediaman biasa walaupun pangsapuri yang mereka beli itu adalah kediaman tetapi bil seperti bil air, ekektrik dan lain-lain berdasarkan tarif komersial bukannya kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup JPK-SAS di Bilik Mesyuarat, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Jelasnya, kejadian ini lazimnya melibatkan pembeli pangsapuri servis di kawasan bandar.

Katanya, kepadatan kawasan bandar hari ini menjadikan pangsapuri servis turut menjadi pilihan untuk dijadikan kediaman khususnya golongan muda atau mereka yang memiliki keluarga kecil.

“Mereka mempersoalkan kenapa terdapat kondominium atau rumah teres yang harganya lebih mewah dan mahal daripada pangsapuri servis yang mereka miliki tetapi tarif air, elektrik dan lain-lain bil lebih murah berbanding mereka,” katanya.

=EZY=