Categories
SUKANKINI

PKNS FC curi satu mata, ikat Terengganu 2-2

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA TERENGGANU, 4 FEB: PKNS FC berjaya membawa pulang satu mata pada aksi pertama Unifi Liga Super 2018 selepas mengikat Terengganu FC 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Perlawanan berlangsung seimbang pada babak pertama dengan pasukan tuan rumah lebih gemar melancarkan serangan.

Peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-16 menerusi percubaan Abdul Malik Mat Arif tetapi tidak menepati sasaran.

Terengganu yang melancarkan serangan menerusi gerakan lincah Kipre Tchetche akhirnya berjaya memperoleh sepakan penalti selepas pertahanan PKNS FC melakukan kesilapan di dalam kotak penalti.

Tchetche mudah menewaskan Mohd Shahril Saari bagi kedudukan semasa 1-0.

Selang tiga minit kemudian, Mohammad Qayyum Marioni Sabil menceriakan kem PKNS FC dengan gol penyamaan 1-1 hasil rembatan kaki kiri yang terkenan pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, giliran PKNS FC menguasai perlawanan dan akhirnya berjaya mendahului oada minit ke-69 menerusi jaringan Rafael Ramazotti.

Beliau yang dikawal kemas pertahanan Terengganu berjaya melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan rendah bagi membolehkan Red Ants mendahului 1-2.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Tchetche kembali mencatatkan nama sebagai penjaring gol kedua buat Terengganu pada minit ke-74.

Beliau berjaya melepaskan rembatan kaki kiri ke gawang PKNS FC bagi menceriakan kembali penyokong Terengganu.

Tiada sebarang tambahan jaringan dicatakan sehingga wisel penamat dibunyikan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

GAMBAR SUMBER: FACEBOOK PKNS FC

=EZY=