Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Sektor perkilangan sumbang RM3.05 bilion jumlah pelaburan Jan-Sept 2017

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Sejumlah RM3.05 bilion atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di sektor perkilangan Januari hingga September tahun lalu, disumbangkan oleh lima kluster utama yang menjadi fokus Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’Hasan Azhari Idris berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 bilion adalah dari pelaburan tempatan dan sebanyak RM1.05 bilion dari pelaburan asing.

“Faktor penyumbang utama pelaburan negeri adalah dari industri pengeluaran produk Makanan ataupun ‘Food Manufacturing’ yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dengan 19 projek bernilai RM726.3 juta atau 23.8 peratus.

“Manakala, industri Barangan Kimia dengan 19 projek bernilai RM380.2 juta dan Industri Peralatan Pengangkutan dengan 20 projek bernilai RM295.7 juta atau 9.7 peratus,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasan berkata kluster Sains Hayat turut menyumbang sebanyak 17.1 peratus dengan jumlah pelaburan sebanyak RM521.5 juta.

Katanya, ia diikuti dengan kluster Elektrik dan Elektronik sebanyak 7 peratus (RM214.9 juta) dan kluster Peralatan dan Jentera menyumbang sebanyak 6.3 peratus (RM193.4 juta).

Terdahulu, Invest Selangor memfokuskan kepada lima kluster utama iaitu elektrikal dan elektronik, makanan dan minuman, peralatan dan jentera, sains hayat, dan peralatan pengangkutan.

Invest Selangor juga memberi tumpuan kepada empat bidang keutamaan di dalam lima kluster teras iaitu Bioteknologi, industri Halal, industri Aeroangkasa dan E-dagang.

Ia bagi membantu mengukuhkan lagi pelaburan di lima kluster itu. Empat majlis ditubuhkan untuk memberikan perhatian terhadap empat bidang itu iaitu Majlis Aeroangkasa Negeri Selangor, Majlis Halal Antarabangsa Selangor, Majlis Bio Selangor dan Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor(SITEC).

Majlis-majlis ini terdiri daripada kakitangan jabatan Negeri Selangor, agensi dari Kerajaan Persekutuan dan pemain-pemain industri.

Ianya berperanan penting yang mana akan melihat perkembangan industri semasa dan merangka arah tuju industri di bawah lima kluster utama itu di Selangor.

=EZY=