Categories
SELANGOR

SPRM perlu siasat dokumen palsu SAMM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei, akan menyerahkan laporan polis berhubung dokumen dan kenyataan palsu yang dibuat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam tempoh terdekat.

Katanya, salinan itu akan diserahkan kepada SPRM supaya badan terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang memberikan kenyataan palsu dan memfitnahnya bersabit isu pasir, di Selangor.

“Saya akan menyerahkannya dalam tempoh terdekat supaya pihak SPRM memulakan siasatan mereka kerana SAMM menggunakan dokumen palsu, dalam isu itu. Saya mahu SPRM mengkaji dan mendakwa pihak terbabit dengan tindakan sewajarnya.

“Laporan sudah dibuat sebelum ini dan polis sudah memulakan siasatan. Saya menekankan dokumen dalam laporan yang dikemukakan mereka itu adalah palsu untuk memfitnah,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Shuhaimi membuat laporan polis di bawah Seksyen 182 kanun keseksaan terhadap kenyataan palsu itu dan mahu SPRM mengambil tindakan sewajarnya di bawah Seksyen 27 Akta SPRM 2009 kerana memberikan kenyataan palsu kepada pegawai SPRM.

SAMM menyerahkan memorandum setebal 300 muka surat kepada SPRM berhubung dakwaan perlombongan pasir haram, di Selangor.

Mereka mendakwa, beberapa pemimpin PKR melakukan penipuan, rasuah dan salah guna kuasa bagi mendapatkan tender melombong pasir, di Selangor.