GAZA 31 MAC: Sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin maut, manakala ratusan lain cedera dalam pertempuran yang meletus selepas ribuan penduduk berarak berhampiran sempadan Israel sebagai tanda protes, semalam.
Lewat semalam, pasukan tentera Israel yang menjadikan tiga kubu Hamas di Semenanjung Gaza sebagai sasaran serangan udara dan bedilan kereta perisai selepas mendakwa berdepan cubaan serangan di sepanjang sempadan.
Semua peserta tunjuk perasaan berkenaan, termasuk wanita dan kanak-kanak, sebelum itu berhimpun di tiga kawasan di seluruh negara dengan dipantau tentera Israel di sepanjang sempadan timur serta utara.
Beberapa kumpulan kecil cuba mara ke bahagian pagar yang dikawal ketat, namun dihalang oleh tentera Zionis menggunakan gas pemedih mata dan tembakan.
Pasukan keselamatan Israel turut menggunakan dron untuk menembak gas pemedih mata ke arah peserta.
Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, 16 rakyat Palestin terbunuh selepas bertempur dengan tentera Zionis dan lebih daripada 1,400 lagi cedera termasuk 758 yang terkena tembakan, manakala bakinya cedera akibat tembakan peluru getah dan terhidu gas pemedih mata.
Seorang diplomat berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat tertutup berkenaan situasi di Gaza, susulan permintaan dari Kuwait.
SUMBER: AFP