OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 11 MAC: Kira-kira 6,000 pengunjung memeriahkan PJ Car Free Day yang pertama kali diadakan bagi tahun ini di Taman Bandaran, Kelana Jaya, pagi tadi.
Unit Seketariat Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan, penganjuran program itu bertujuan menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya hijau dan mampan.
Katanya, ia juga bertujuan pemeliharaan tenaga dan sumber bagi mengurangkan penggunaan kenderaan supaya dapat mengawal pencemaran udara di bandar.
“Program ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi mengurangkan penggunaan karbon secara holistik,” katanya dalam kenyataan.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya ialah “purple walk – walk for health”, pertandingan PJ Jjoran, PJ Smart Ride, senamrobik, pertandingan sukan tradisional dan pertandingan mewarna.
Turut dimeriahkan dengan pertandingan busana tradisional kreatif, pertunjukan diablo (yoyo cina), pertunjukan kebudayaan, Smart Track (kendera saji / food truck), aktiviti santai budaya, aktiviti roller blade.
Untuk rekod, program PJ Car Free Day diperkenal sejak tahun 2013.
Program itu diadakan sebagai usaha inisiatif Local Agenda 21 Petaling Jaya untuk mencapai matlamat bandar raya berkarbon rendah iaitu Low Carbon Cities Framework (LCCT).
MBPJ turut bercadang untukmenganjurkan program PJ Car Free Day sebanyak lima kali.
“MBPJ berharap program seperti ini dapat menggalakkan masyarakat setempat untuk lebih mengutamakan kemudahan pengangkutan awam, berbasikal, dan lain-lain inisiatif yang mesra alam sekitar,” katanya.