Categories
GLOBAL

Berdiam diri isu Rohingya, anugerah Aung San Suu Kyi ditarik

GLOBAL 8 MAC: Muzium Peringatan Holokaus Amerika Syarikat (AS) menarik semula anugerah berprestij hak asasi manusia yang diberikan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana didakwa hanya berdiam diri dalam tragedi penghapusan etnik masyarakat Muslim Rohingya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan, Suu Kyi yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991 atas perjuangannya menentang pemerintahan kuku besi junta tentera menerima anugerah Elie Wiesel dari muzium itu enam tahun lalu sebagai menghargai jasanya menentang kezaliman dan meraih kemerdekaan untuk semua rakyat Myanmar.

Muzium berkenaan bagaimanapun memutuskan untuk menarik semula anugerah berkenaan selepas memperoleh banyak bukti yang menunjukkan wanita itu hanya berdiam diri dalam operasi ketenteraan ke atas etnik terbabit.

“Selepas serangan tentera ke atas masyarakat Rohingya didedahkan pada tahun 2016 dan 2017, kami berharap anda sebagai seorang individu yang selama ini berjuang untuk kemerdekaan rakyat Myanmar melakukan sesuatu bagi membantu etnik itu, atau sekurang-kurangnya menyuarakan pendapat mengutuk kezaliman berkenaan,” kata pengurusan muzium berkenaan dalam surat rasmi kepada Suu Kyi.

Suu Kyi dan parti Liga Demokrasi Nasional jelas mereka, menolak untuk bekerjasama dengan pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan kekal sebagai satu retorik dalam gerakan anti Rohingya.

“Parti beliau juga melarang media melaporkan kejadian pembunuhan besar-besaran ke atas etnik itu.

“Tindakan zalim pihak tentera khususnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini menuntut anda melakukan sesuatu yang boleh membantu tetapi anda memilih untuk berdiam diri,” kata surat itu lagi.

SUMBER: AFP