Categories
NASIONAL

Bicara kes dua remaja bunuh 23 penghuni Tahfiz bermula 30 Mei

KUALA LUMPUR 13 MAC: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 hari bermula 30 Mei untuk perbicaraan kes dua remaja yang didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dalam kejadian kebakaran yang menyayat hati, September tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 30 Mei hingga 31 Mei, 2 hingga 6 Julai serta 9 hingga 13 Julai untuk perbicaraan kes itu semasa sebutan kes tersebut.

Terdahulu Hakim Azman menolak bantahan awal pihak pendakwaan supaya firma guaman Tetuan Gobind Singh Deo & Co dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua tertuduh remaja itu.

Hakim itu berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan setiap individu mempunyai hak untuk memilih mana-mana peguam bagi mewakili mereka.

“Pihak pembelaan juga telah menjelaskan tidak akan berlaku apa-apa pertalian atau kaitan dengan dua saksi pendakwaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA