OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 6 MAC: Cabaran Pantai Morib 2018 anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menawarkan hadiah lebih RM20,000 kepada kaki pancing yang berminat untuk sertai acara itu pada 24 Mac ini.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Yasin Alwi berkata, pertandingan anjuran MDKL itu terbuka kepada umum tanpa mengira usia dengan yuran RM30 bagi setiap satu joran.
“Pertandingan ini untuk mempromosi Pantai Morib sebagai salah satu destinasi pelancongan dan menyediakan aktiviti riadah di daerah Kuala Langat.
“Di samping itu, lokasi ini dipilih kerana mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur serta pantai yang mempunyai banyak ikan,” katanya.
Mohd Yasin berkata, MDKL komited dalam sebarang penganjuran aktiviti sihat seperti ini dan sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, anggaran pelawat dianggarkan berkunjung ke acara itu nanti adalah lebih 6,000 orang.
Terdahulu, program itu adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri, Pejabat Ahli Dewan Negeri Morib dan Tourism Selangor bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Setiap pemenang dari tempat pertama hingga ke-40 berpeluang menerima hadiah wang tunai.
Bagi tempat pertama, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM12,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.
Manakala bagi tempat keempat dan kelima, masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500.
Peserta juga bakal membawa pulang dua buah TV LED 32 inci dan hamper melalui cabutan bertuah.
Sebelum ini, MDKL pernah menganjurkan acara yang sama seperti ini bertempat di Pantai Kelanang.