OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 20 MAC: Didakwa tidak memberikan penjelasan berkaitan isu kebajikan masyarakat di Kampong Bharu, Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani digesa melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.
Penolong Setiausaha Angkatan Muda (KEADILAN) AMK Nasional, Syed Badli Shah Syed Osman dalam kenyataannya berkata, kegagalan Johari menyelesaikan kemelut yang berlaku di kawasan itu membuktikan kelemahan beliau sebagai wakil rakyat penduduk Titiwangsa.
“Permasalahan turun temurun isu parkir di kawasan pintu gerbang Kampong Bharu juga didakwa gagal diselesaikan apabila tiada sebarang alternatif untuk menangani masalah ini.
“Sedangkan masalah ini telah timbul sekian lama dan menyukarkan penduduk setempat untuk keluar masuk khususnya di waktu puncak,” katanya.
Terdahulu, Johari didakwa gagal menyatakan status pemilik tanah yang berjaya diselesaikan dan alternatif kepada permasalahan parkir di kawasan pintu gerbang Kampung Bharu.
Kata Syed Badli, Menteri Umno itu hanya bijak bermain retorik politik untuk terus kekal mendapatkan sokongan penduduk Titiwangsa.
“Mengharapkan rakyat di Parlimen Titiwangsa untuk memberikan mandat sekali lagi dengan pelbagai janji bulan dan bintang adalah modus operandi Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa.
“Justeru, saya percaya bahawa para pengundi di Parlimen Titiwangsa bijak menilai dalam memilih calon yang beribawa untuk menerajui kawasan mereka.
“Pakatan Harapan akan menampilkan calon terbaik untuk bekerja di Parlimen Titiwangsa bagi mewakili suara rakyat,” katanya.
=EZY=